Tuesday, January 17, 2012

Renungan: Ego dgn Ilmu

salam....
belek2 majalah Solusi aku jumpa satu petikan menarik bagi aku yang boleh dikongsi dgn kengkawan semua.


ANGGUK-GELENG: Ego Dengan Ilmu


"Saya hendak belajar ilmu membersihkan hati," kata seorang ulama besar kepada seorang ahli sufi.

"Tuan sudah banyak ilmu. Saya di sini hanya mengajar sekadarnya," ujar ahli sufi secara terus terang.

"Betul, saya ingin belajar di zawihay tuan ini. Saya ingin menghilangkan rasa takbur."

"Pelajaran saya tidak menggunakan kitab..." perlahan ahli sufi berkata.

"Mana boleh belajar tanpa kitab? Tuan tidak tahu tentang itu?" ujar ulama besar itu.

"Orang yang memang tinggi ilmunya semacam tuan, tidak perlu lagi belajar melalui kitab."

"Setahu saya, sesiapa sahaja belajar, perlu berkitab." kata ulama besar itu. Serban besar dan jubah indahnya bergeser ditiup angin.

"Baiklah, apa itu takbur?" tanya ahli sufi seakan menguji.

"Apabila merasakan diri sendiri yang terbaik, memandang hina orang lain dan menolak kebenaran," jawab ulama besar itu dengan yakin. Ilmu-ilmu yang begitu seakan sudah berada di hujung jarinya.

"Tuan sudah mahir asas ilmu takbur."

"Tetapi saya ingin membuang rasa takbur..."

"Itulah tujuan asal saya datang ke sini."

"Kalau begitu, buang serban dan jubah tuan dahulu. Dan ambil mangkuk kosong ini dan mengemislah di tempat tuan mengajar," kata ahli sufi.

"Apa? Mengemis? Mengemis bukankah kerja hina?"

"Tujuan mengemis ini bukan kerana malas atau meminta belas ihsan manusia," kata ahli sufi itu. Dengan hanya tersenyum, beliau menyambung "Tuan perlu mengemis untuk menghilangkan ego. Supaya terasa hina di hadapan manusia setelah selama ini tuan dikenali sebagai ulama besar."

"Oh, saya tak mampu. Saya datang ke sini untuk belajar ilmu yang lebih tersirat. Saya ingin menelaah kitab-kitab hebat dan tinggi."

"Oh, saya tidak mengajar kitab-kitab seperti itu. Saya hanya belajar mengamalkan ilmu yang telah sama-sama kita ketahui."

"Jadi, tuan tidak sangguplah mengajar saya?"

"Tidak, tetapi tuanlah yang tidak sanggup belajar daripada saya!".

Pengajaran:
Ada orang yang sombong dengan ilmunya. Namun ilmu itu tidak lebih hanya hafalan kata-kata dan terisi di dalam akal semata-mata Orang melihatnya hebat, tetapi hatinya penuh dengan karat ego apabila merasakan dirinya lebih baik dan alim daripada orang lain.

Adakah anda tergolong di dalam golongan Ego dengan ilmu? Fikir-fikirkanlah...

Sumber: Solusi:20, hlm 108.

No comments:

Copyright to AMERIS LOVERIS
Designed by UMIESUEstudio 2015